LAHAD DATU: Selepas satu kejadian serangan buaya sehingga menyebabkan kematian di sini minggu lalu, hari ini seorang lagi kanak-kanak nyaris maut diserang reptilia berkenaan.

Dalam kejadian di Kampung Air jam 5.55 petang tadi, kanak-kanak lelaki berusia tujuh itu parah di bahagian kaki kanannya akibat digigit buaya terbabit.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, ketika kejadian mangsa dikatakan turun ke bahagian bawah rumahnya untuk mengambil ayam.

Ketika itu, sepupu mangsa ternampak seekor buaya menghampirinya lalu menjerit untuk memberi amaran.

"Mangsa cuba menyelamatkan diri naik ke atas jambatan berhampiran rumahnya namun buaya itu sempat menyerang mangsa hingga cedera di bahagian kaki sebelah kanan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa telah menjalani pembedahan, bahagian tulang kaki sebelah kanan didapati retak. Dia masih menerima rawatan di hospital dan keadaannya stabil," katanya.

Sementara itu, Rohan berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu sudah mengenal pasti 28 sarang buaya di sekitar daerah ini.

"Kita telah kenal pasti terdapat 28 sarang buaya di daerah ini dan polis bekerjasama dengan JHL Lahad Datu untuk menjalankan operasi pembanterasan reptilia ganas berkenaan," katanya.

Pada 1 Disember lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hilang dipercayai maut dibaham buaya manakala ayahnya parah akibat digigit reptilia berkenaan ketika cuba menyelamatkan anaknya dalam kejadian berhampiran pangkalan Jeti PPM Lahad Datu.